• Laman Utama
  • Awam
  • BERITA
  • TABUNG KASIH@HAWANA BERI KELEGAAN KEPADA NAVANEETHA JALANI RAWATAN BAHU

TABUNG KASIH@HAWANA BERI KELEGAAN KEPADA NAVANEETHA JALANI RAWATAN BAHU

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan tahun lepas, memberi kelegaan kepada pengamal media R. Navaneetha Krishnan kerana ia mengurangkan bebannya dalam menjalani rawatan bahu beku akibat kemalangan.

Navaneetha, 64, Pengarang di Allaioli, sebuah portal berita dalam talian berkata inisiatif Tabung Kasih@HAWANA itu amat baik dalam membantu pengamal dan bekas petugas media khususnya mereka yang memerlukan.

"(Saya terlibat dalam) kemalangan pada 15 Feb dan menerima RM2,000 di bawah bantuan tabung itu pada 21 Feb. Sumbangan berkenaan membolehkan saya menjalani rawatan ayurveda di Chennai, India. Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bertindak pantas dan melakukan tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus.

Sementara itu, Teo berkata Tabung Kasih@Hawana ditubuhkan bagi membantu pengamal media yang berdepan kesulitan.

"Ia menawarkan dana kecemasan untuk membantu pengamal media menjalani rawatan atau pembedahan terutamanya semasa kecemasan," katanya.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 untuk menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang menghadapi kesukaran.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu komuniti media.

-- BERNAMA