• Laman Utama
  • Awam
  • BERITA
  • TIGA LAGI BEKAS PETUGAS MEDIA TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

TIGA LAGI BEKAS PETUGAS MEDIA TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga lagi bekas petugas media yang uzur dan sedang diuji dengan masalah kesihatan dan kesukaran hidup.

Mereka terdiri daripada bekas Penerbit Rancangan RTM Jalil Mat Dom, bekas juruhebah Suara Malaysia Mohamed Ariff Esa, dan bekas petugas di Bahagian Percetakan Karangkraf Haris Abd Salam.

Jalil, 62, yang tidak asing dalam dunia pengacaraan sukan tanah air sekitar 90-an, kini uzur dan sukar untuk bergerak selepas diserang angin ahmar sejak 2019.

Beliau menyertai RTM pada 1999 dan berkhidmat selama 20 tahun sebagai penerbit rancangan, selain pernah berkhidmat di Media Prima sebagai wartawan, penolong penerbit dan penyampai berita dari 1985 hingga 1998.

“Apa yang kita lakukan hari ini bukan sahaja sempena sambutan Aidilfitri, tetapi secara berterusan untuk membantu dan mengenang rakan-rakan media yang telah berkhidmat dan menyumbang bakti dalam bidang ini.

“Ini juga memberi ruang kepada kementerian untuk mengeratkan silaturahim dengan mereka di samping mengenal pasti masalah dan isu-isu (kebajikan) yang dialami mereka… tindakan susulan akan kita ambil,” kata Fahmi ketika ditemui pemberita selepas kunjungan ke kediaman Jalil dan Mohamed Ariff di Ampang. 

Hadir sama mengiringi Menteri Komunikasi semasa penyampaian sumbangan ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Mohamed Ariff Esa, 76, yang kini mengalami masalah glukoma dan darah tinggi selain menghidap masalah jantung sejak 2016, pernah berkhidmat sebagai juruhebah Suara Malaysia dari 1981 hingga 2011.

Sementara itu itu sumbangan kepada Haris, 64, iaitu bekas petugas di Bahagian Percetakan Karangkraf selama 30 tahun yang menghidap masalah jantung sejak 2011 dan masalah buah pinggang sejak 2020, dikreditkan terus ke akaun beliau.

Jalil, Mohamed Ariff dan Haris adalah antara 49 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

Sementara itu Nur-ul Afida berkata menjelang sambutan Hari Wartawan Nasional 2024 bulan depan, Bernama selaku agensi pelaksana Tabung Kasih@HAWANA telah merangka beberapa program menyantuni rakan dan veteran media.

“Selepas raya ini juga kita ada program di Perlis dan menjelang sambutan HAWANA tahun ini di Kuching, Sarawak, kita juga sudah menjejaki tiga penerima lain (di Sarawak).

“Menerusi peruntukan daripada Kementerian Kewangan melalui Kementerian Komunikasi, insya-Allah kita dapat melaksanakan amanah ini untuk membantu rakan-rakan dalam kesusahan

-- BERNAMA