Majlis Khatam al-Quran 2024 eratkan silaturahim warga BES RTM

ANGKASAPURI, 3 April -- Berita Ehwal Semasa (BES) Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan program khatam al-Quran buat kali ke-4 bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

Timbalan Pengarahnya, Md. Shahri Saripan berkata, program juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga bahagian itu.

"Ini merupakan tahun keempat berturut-turut bahagian BES menganjurkan majlis khatam al-Quran, rentetan daripada tadarus al-Quran yang kita mula pada bulan Rejab.

"Saya mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada tahun akan datang dan diteruskan oleh mereka yang akan datang, maksud saya, sesiapapun yang berada di BES ini, mereka boleh jadikan sebagai aktiviti tahunan.

"Jika boleh bukan setakat bulan Ramadan, tetapi seterusnya boleh buat pada bila-bila masa," katanya pada Majlis Khatam al-Quran 2024 di Wisma Berita, sini, hari ini, yang disertai oleh 23 orang kakitangan BES.

Malis terbabit dimulakan dengan bacaan surah Ad-Duhaa dipimpin oleh imam Masjid Muhammadi, Firdaus Muhammad.

Beliau berkata, program tersebut mendapat sambutan baik daripada kakitangan BES dan ia wajar diteruskan, bukan sahaja pada bulan Ramadan, juga pada bulan-bulan lain.

"Saya dapat lihat, yang pertamanya silaturahim sesama kita. Alhamdulillah sesibuk manapun kita walaupun wartawan, pemberita dan sebagainya, kita mampu juga menghabiskan al-Quran dalam bulan Ramadan ini," katanya.

Bank Islam selaku penaja utama majlis turut menyumbang sebanyak 300 pek makanan iftar untuk peserta dan pengurusan bahagian BES.