• Laman Utama
  • Awam
  • BERITA
  • KEMENTERIAN KOMUNIKASI, MCMC ADAKAN PERTEMUAN DENGAN META ISNIN DEPAN

KEMENTERIAN KOMUNIKASI, MCMC ADAKAN PERTEMUAN DENGAN META ISNIN DEPAN

PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform Meta pada Isnin depan bagi membincangkan aspek keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata antara perkara yang akan dibangkitkan ialah tindakan beberapa pihak menyalahgunakan platform disediakan Meta seperti Facebook untuk memesongkan fakta dan menyebar maklumat serta berita palsu.

Beliau berkata sejak semalam, pihaknya mendapati wujud siri mesej yang tersusun dan tindakan telah dimulakan oleh beberapa watak atau pihak khususnya di Facebook yang melontarkan tuduhan dangkal serta jahat dengan mendakwa tahun ini tidak ada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Kanak-Kanak di bawah usia 13 tahun tidak patut dan tidak boleh mempunyai akaun di Facebook, Instagram, WhatsApp, X, TikTok dan sebagainya tetapi semua platform pada waktu ini tidak memberi penegasan melalui mekanisme yang ketat bagi menghalang mereka daripada membuka akaun di platform terbabit.

“Ini antara perkara yang memang menjadi topik atau agenda dalam perbincangan yang akan diadakan nanti,” katanya.

Beliau juga berkata sekiranya pihak Meta enggan bekerjasama, kementerian akan mengambil beberapa tindakan terhadap penyedia platform itu dan pihak yang bersekongkol.

-- BERNAMA