Program CSR RTM di ibu negara dapat sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR, 2 April -- Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) RTM dengan tema 'Barakahnya Ramadan, Indahnya Syawal' mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, inisiatif itu menjadi platform terbaik dalam memperkukuh kerjasama antara RTM dan rakan strategik sekali gus mendekatkan masyarakat dengan jenama RTM.

"Apa yang penting kita melihat kepelbagaian yang ada dalam RTM. Kita juga mendekati orang yang menyokong kita, terutama penonton, pembaca artikel dan pendengar.

"Ini yang sangat penting, sekiranya jenama itu tidak dekat dengan mereka yang menyokong maka tidak berapa betul jenama itu berada di tempatnya. Jadi sebab itu kita mahu RTM menjadi satu jenama yang relevan dan juga disayangi. Ini yang kita buat pada hari ini," katanya dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) RTM di ibu negara.

Beliau menjelaskan kejayaan itu dicapai hasil kerja keras berpasukan bagi memastikan RTM kekal relevan dan berdaya saing dalam industri.

Sementara itu, Muhammad Arif Adenan yang ditemui berkata, program itu dilihat dapat mengeratkan hubungan masyarakat dan pihak penyiaran.

"Acara ini bagus sebab memudahkan orang lain untuk berbuka sebab kadang-kadang kita balik pun tak sempat nak berbuka. Kedai pun penuh kalau nak berbuka dekat luar, apabila sudah disediakan macam ini memang memudahkan sangat," katanya.

Bagi Zulkarnain Roslan, dia menyambut baik program yang dikendalikan oleh RTM.

"Program macam ini amat baik dan saya rasa ia program yang dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak penyiaran dengan orang awam terutama yang menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Dalam program CSR kali ini lebih 2,000 bungkusan diedarkan kepada orang awam di KL Sentral.